KAJIAN BANGSA LOST TRIBE YAHUDI – PART 13

Posted by: | Posted on: April 24, 2016

Siapakah yang dikatakan Ahlul Bait?  Ahlul Bait adalah keluarga Rasulullah SAW. Keturunan Ahlul Bait ialah anak-cucu dan keturunan Nabi Muhammad SAW dari satu-satunya anak baginda yang melahirkan zuriat yang berterusan iaitu dari pasangan Fatimah Az-Zahra dan Ali bin Abi Talib. Manakala anak lelaki Rasulullah, Ibrahim dan Kassim meninggal dunia semasa kecil dan tidak meninggalkan zuriat. Anak perempuan Nabi yang lain iaitu Zainab, Ummu Kalthum dan Ruqaiyyah tidak diketahui mempunyai zuriat.

Jadi ahlul bait ini dikaitkan dengan keturunan Hassan RA dan Hussein RA. Keturunan mereka ini kalau dalam konteks Nusantara Melayu di beri gelaran Sayyid atau Syarif untuk menjaga nasab. Sayyid untuk keturunan sebelah Hussein RA. Syarif untuk keturunan sebelah Hassan RA.

Mereka berbeza dengan gelaran Maulana, Makhdum atau Syeikh yang merupakan gelaran pada ulama yang datang dari Hijaz (Mekah dan Madinah) tetapi bukan dari jalur keturunan Rasulullah SAW.

Para Sahabat Rasulullah SAW jumlahnya melebihi 100,000. Ini adalah berdasarkan kepada umat Islam yang berkumpul di Padang Arafah untuk mendengar khutbah, amanat dan pesan terakhir rasulullah SAW. Ribuan dari mereka telah tersebar ke seluruh dunia. Bilal, maqamnya di Syria, Abu Ayub Al-Ansari maqamnya di Istanbul, Saad bin Abi Waqash di Cina. Mereka yang berstatus sahabat ini pula ada yang berjumpa dengan Rasulullah SAW pada usia yang amat kecil seperti Anas bin Malik RA yang didukung oleh Nabi dan di bawa naik unta bersamanya serta diberikan nasihat-nasihat. Anas bin Malik meninggal ketika usianya 93 tahun. Bererti setelah hampir 100 tahun Rasulullah SAW wafat, para sahabatnya masih hidup. Kemungkinan mereka hadir di Nusantara Melayu dan meninggal di sini seperti juga di tempat-tempat lain di seluruh dunia. Dengan hijrahnya para sahabat Nabi SAW, Islam tersebar 1/3 dunia.

Ulama yang berdakwah di Nusantara Melayu bermula sejak kurun ke 14M lagi. Mereka bergelar Syarif dan Sayyid seperti Syarif Kabungsuan, ulama dari Johor Lama yang berdakwah di Mindanao.

Syarif Makkah yang berdakwah kepada Raja Meura Silu yang kemudiannya memeluk Islam memakai gelaran Sultan Al-Malikus Soleh dan menjadi Raja pertama Islam di Nusantara (Kerajaan Pasai). 

Syarif Ali dari Taif diambil oleh Sultan Muhammad Syah, Sultan pertama Brunei. Nama Sultan Muhammad Syah sebelum Islam adalah Awang Alak Batatar.  Sultan Muhammad Syah mengambil Syarif Ali sebagai menantu dan diangkat menjadi Sultan Syarif Ali.  Dengan itu Sultan Syarif Ali ulama yang mengasaskan syariat Islam di negeri Brunei Darussalam.

Syarif Hidayatullah atau Fathillah berasal dari Pasai juga adalah keturunan Rasulullah SAW. Beliaulah yang menggempur Portugis dan mengalahkan kerajaan Sunda Kelapa pada tahun 1521 dan menukar namanya kepada Jayakarta(Jakarta). Nama Jakarta Ibu Negara Indonesia diambil dari nama beliau. Syarif Hidayatullah adalah merupakan salah seorang dari Wali Songo (Wali sembilan di Pulau Jawa).

Begitu juga ramai raja-raja Kepulauan Melayu adalah dari keturunan Ahlul Bait. Di antaranya ialah Raja Perlis Sultan Syed Sirajuddin Jamalullail Al-Haj. Baginda adalah dari keturunan keluarga Al-Ba’lawi dari Hijaz yang berasal dari nasab Rasulullah SAW. Selain itu, Raja Siak dan Raja Kutai (Kalimantan) juga adalah dari keluarga yang sama.

Kesimpulannya memang keturunan Ahlul Bait memang wujud di Nusantara Melayu dan mereka memainkan peranan yang besar dalam mengislamkan kepulauan Nusantara Melayu.

Atas fakta-fakta sejarah inilah bahawa Nusantara Melayu dikatakan menyimpan Ahlul Bait. Berlaku melalui perkahwinan campur keturunan Rasulullah SAW dengan keturunan Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu pula adalah institusi yang memelihara agama Islam. Atas fakta inilah Nusantara Melayu menjadi penelitian ulama juga musuh Islam iaitu Zionis yang berkuasa hari ini. Mudah-mudahan umat Islam di sini tidak lagi membuat kesilapan untuk membuka ruang Zionis masuk di Alam Melayu.

Jika kita merujuk Wasiat Rasulullah SAW di akhir zaman tentang negara Samudera, tidak ada negara lain yang mengguna  perkataan “Samudera” melainkan di Nusantara Melayu. Apakah ini ada kaitan dengan Al Mahdi? Apakah Al Mahdi itu akan muncul di dunia Melayu adalah suatu yang sukar dijawab. Ini kerana bangsa Melayu bukan bangsa perang yang sanggup berhadapan dengan kekuatan Rom dan Yahudi Zionis berbanding dengan bangsa Khurasan yang bertungkus lumus menghadapi tentera Rom dan Yahudi Zionis di Syam sekarang.

Tetapi di Nusantara Melayu ini adalah tempat yang aman telah memberi peluang kepada Islam untuk membuat Setup Sistem berbanding dunia Arab yang penuh dengan peperangan, tiada ruang untuk membina Islam yang dirosakkan oleh sistem sekular. Kita tidak tahu, apakah sekarang ini Islam benar-benar di awal ambang kebangkitan? Ianya akan menempuhi sejarah yang panjang lagi untuk sampai ke mercu kekuasaan dan berbagai perkara yang akan berlaku sukar diramal pada masa hadapan. Hanya Allah yang merencanakan kemunculan Al Mahdi dalam keadaan musuh dan umat Islam tidak terduga. Wallahu’alam.

 





Leave a Reply